SELANGOR FC
BERITA

Kembali Berlatih | Persiapan Untuk Perlawanan-Perlawanan Seterusnya

Sep 04, 2024 - FAS

Sesi latihan di kem Gergasi Merah diteruskan sejak Isnin yang lalu selepas diberi rehat sebaik sahaja tamat perlawanan akhir Piala FA pada 24 Ogos yang lalu. 

Bulan ini, Selangor FC akan menghadapi tiga perlawanan iaitu Liga Super minggu ke sepuluh pada 13 September menentang Kuching City FC (Home), kemudian pengembaraan dalam saingan ACL2 bermula pada 19 September menentang Muangthong United FC (Away) dan diikuti dengan Liga Super minggu kesebelas menentang Terengganu FC pada 21 September (Away).

Menjalani hari ketiga sesi latihan, menurut penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez, beliau mendapat rehat yang cukup bersama keluarga dan sedia untuk berikan fokusnya kepada pasukan.

"Kami diberi cuti panjang untuk berehat selepas perlawanan akhir yang lalu. Saya percaya semua pemain meluangkan masa mereka untuk bersama keluarga dan juga untuk diri sendiri. Ini seperti satu nafas yang baru memulakan semula perjuangan kita.

“Kami tetap berada di landasan yang sama untuk mencapai sasaran yang dimahukan. Kini pasukan berada di tempat ke-2 dalam saingan Liga Super, ini bermakna kita perlu berlatih bersungguh-sungguh dan menyiapkan diri untuk kekalkan momentum bagi menambah lebih banyak mata kemenangan di masa hadapan. Cara terbaik untuk mencapai impian tersebut adalah dengan  mengekalkan semangat juang bersama dan dalam masa yang sama tingkatkan  prestasi diri dan pasukan. Selain itu, kami juga perlu memberi tumpuan kepada ACL2 yang akan akan bermula tidak lama lagi, menentang Muangthong FC di Thailand untuk perlawanan pertama, ini bagaikan sebuah cabaran baharu bagi kami dan paling penting untuk dapatkan kemenangan pertama. Saya percaya pasukan mampu mencapai sasaran, untuk berada di tangga teratas kejohanan.”

Sebelum tamat temubual bersama Media Selangor FC, Ronnie berkata, “Sekarang saya berada di landasan perjalanan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini. Oleh itu, saya ingin berterima kasih kepada pegawai kakitangan dan mereka yang telah membantu saya untuk berada di tahap yang lebih baik. Saya gemirá kerana dapat membantu pasukan dalam apa jua cara yang saya mampu lakukan. Apabila saya dapat menjaringkan gol dan kami menang dalam perlawanan itu, ia adalah satu kepuasan untuk saya kerana ia bukan sahaja kemenangan untuk kami para pemain, tetapi juga untuk kakitangan dan mereka yang bekerja keras untuk pasukan.”

Dua pemain negara, Nooa Laine dan Harith Haiqal telah mendapat seruan Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Pesta Bola 2024 edisi ke-43 pada 4 hingga 8 September. Kapten pasukan, Safuwan Baharudin, juga dipanggil oleh Singapura bagi dua perlawanan persahabatan. Selain itu, empat pemain import Gergasi Merah, Noor Al-Rawabdeh, Ali Olwan dan Reziq Banihani mewakili Jordan (lwn Kuwait dan Palestine) Umarbek Eshmurodov mewakili Uzbekistan (lwn Korea Utara dan Kyrgyzstan) bagi menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 

Pihak pengurusan Gergasi Merah yakin barisan jurulatih akan menggunakan masa sebaik mungkin dengan jumlah pemain yang ada sepanjang kalendar FIFA ini. Kami juga mendoakan kejayaan pemain-pemain yang mewakili negara mereka bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga perlawanan persahabatan antarabangsa. Semoga berjaya!

Demi Kebanggaan!